top of page
Search

Seruan Solidariti Global: Mengakhiri Konflik Israel-Palestin dan Menjunjung Hak Asasi Manusia

  • Writer: ADMIN HDF MALAYSIA
    ADMIN HDF MALAYSIA
  • Dec 19, 2023
  • 3 min read

Updated: Nov 26


ree

Situasi yang berterusan dan amat membimbangkan di Palestin pada hari ini, khususnya di Semenanjung Gaza, di mana penduduk Palestin terus menghadapi persekitaran yang mencabar dan sering ditindas akibat penjajahan Zionis Israel. Konflik itu membeirkan kesan mendalam dan implikasi hak asasi manusia yang teruk, mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda yang meluas, dan lebih malang berlaku kemudaratan kepada tempat ibadat umat Islam iaitu masjid. Konflik itu boleh diibaratkan sebegai manifestasi nyata perjuangan rakyat Palestin untuk hak asasi mereka, yang secara sejarah dan jelas dinafikan dan ditindas.


Kesan konflik terhadap kehidupan dan kesejahteraan rakyat Palestin dan Israel tidak boleh dipandang remeh. Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa untuk melibatkan diri secara proaktif dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan yang menghormati hak dan aspirasi semua pihak yang terlibat. Usaha harus bertujuan bukan sahaja untuk menangani krisis kemanusiaan segera tetapi juga untuk menangani punca konflik dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan, keselamatan dan keadilan yang mampan di rantau ini.


Sepanjang konflik yang berpanjangan, penduduk Palestin yang merupakan penduduk asal telah menanggung beban penderaan ini. Dunia melihat bagaimana pengusiran dan isu rakyat Palestin menjadi pelarian di mana begitu ramai rakyat Palestin telah dipindahkan secara paksa dari rumah mereka, dengan ramai yang tinggal di kem pelarian dan juga mereka bergelut dengan ketidakpastian masa depan mereka. Sekatan ke atas semenajung Gaza telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk, mengakibatkan akses yang terhad kepada keperluan asas, penjagaan kesihatan dan peluang pendidikan turut terjejas. Konflik yang berterusan telah membawa kepada keganasan dan korban yang besar di kedua-dua belah pihak, dengan orang awam menderita, terutamanya semasa tempoh pertempuran yang semakin memuncak sepertimana yang berlaku pada waktu ini yang jelas menidakkak hak asasi rakyat Palestin sebagai seseorang manusia.


Selain daripada itu, satu perkara yang penting adalah bagaimana pihak Israel juga boleh menghalang umat Islam daripada seluruh pelusuk dunia untuk menziarahi rumah Ibadah suci bagi penganut beragama Islam iaitu Masjidil Aqsa sebagaimana Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang merangkumi peruntukan berkaitan kebebasan beragama dan hak kebebasan berfikir, hati nurani, agama dan kepercayaan. Perkara 18 UDHR secara khusus menangani hak kebebasan berfikir, hati nurani, agama, dan kepercayaan. Selain umat Islam dari luar Palestin, ada juga daripada kalangan rakyat Palestin tidak dibenarkan beribadah di situ. Memastikan kebebasan beribadat, termasuk akses ke Masjid Al-Aqsa, adalah elemen penting dalam menyelesaikan konflik. Deklarasi UNESCO iaitu agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, secara rasmi telah mengiktiraf Masjid Al-Aqsa sebagai hak milik umat Islam dan juga tapak warisan dunia, menekankan kepentingan budaya dan agama yang mendalam. Israel digesa menghormati hak asasi umat Islam untuk melawat dan beribadat di Masjid Al-Aqsa. Ini berlaku bukan sahaja kepada rakyat Palestin tempatan tetapi umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Semenanjung Gaza.


Badan antarabangsa harus secara aktif menyokong rundingan damai bagi memastikan keadilan dan keselamatan untuk rakyat Palestin khususnya. Seruan agar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil peranan yang lebih proaktif dalam memudahkan dialog dan rundingan, memanfaatkan pengaruhnya untuk mempromosikan keamanan dan keadilan selari sebegaimana yang dituntut di dalam Islam. Adalah mustahak untuk memberikan akses tanpa had kepada umat Islam Masjid al-Aqsa, sebagaimana umat Islam menziarahi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Ini bukan sahaja akan menegakkan hak asasi manusia tetapi juga menggalakkan budaya toleransi dan keterangkuman beragama.


Sebagai aktivis muda hak asasi manusia, adalah menjadi kewajipan kita untuk bersuara dalam mempertahankan hak dan maruah semua individu, tanpa mengira latar belakang mereka di dalam konteks global. Konflik Israel-Palestin kekal sebagai babak yang amat menyakitkan dalam sejarah, tetapi melalui perpaduan global dan kerjasama antarabangsa, kita boleh bercita-cita untuk mencapai resolusi yang menghormati hak dan aspirasi hak asasi manusia, sambil memajukan keamanan dan keadilan sejagat. Justeru, sudah tiba masanya untuk dunia khususnya dunia Islam bertindak tegas dan berusaha untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin yang berpanjangan ini, dan dunia khususnya Zionis Israel harus menghormati hak suci umat Islam yang jelas ditindas dengan mempromosikan keamanan, perdamaian, dan kerangka masa depan yang lebih cerah untuk semua pihak khususnya pihak yang zalimi.


MUZHAFAR SHAIRAZI BIN MOHAMMAD

Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Humanitarian Development Foundation (HDF)

(Awarded as Human Right Leader by US Institute of Diplomacy and Human Rights)

 
 
 

Comments


bottom of page