Kunjungan Mengadap YAM Puteri Raja Muda Perlis
- ADMIN HDF MALAYSIA
- Nov 26
- 2 min read
Humanitarian Development Foundation (HDF) telah mengadakan satu kunjungan hormat menghadap Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Puteri Raja Muda Perlis dalam satu pertemuan yang berlangsung penuh tertib dan beradab pada 30 Oktober 2025 di Kangar, Perlis. Kunjungan ini diketuai oleh YBrs. En. Khairul Anuar bin Mansor, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah HDF, bersama delegasi HDF.

Turut serta dalam kunjungan ini ialah YBhg. Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Pengasas HDF yang juga merupakan tokoh utama dalam membangunkan dasar serta hala tuju kemanusiaan organisasi. Hadir sama ialah Tn. Hj. Muzhafar Shairazi bin Mohammad, Ketua Eksekutif HDF, serta YBhg. Dato’ Hj. Zulhilmi bin Mukhtar, yang turut bersama menyampaikan perkembangan program serta perancangan masa hadapan HDF.
Pertemuan ini turut disertai oleh YBhg. Dr. Haji Hazman bin Hassan, Timbalan Yang DiPertua, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Tn. Hj. Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, menjadikan sesi ini lebih bermakna dengan penglibatan pihak berautoriti negeri dalam agenda kebajikan dan pembangunan komuniti.


Dalam pertemuan ini, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuhkan kerjasama antara HDF dan institusi-institusi negeri, khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, kebajikan masyarakat dan program kemanusiaan yang memberi manfaat kepada rakyat Perlis. HDF turut berkongsi inisiatif serta projek yang sedang dan bakal dilaksanakan, termasuk peranan belia, pendidikan masyarakat, serta pembangunan sosial sebagai tonggak penting organisasi.
YAM Puteri Raja Muda Perlis telah berkenan mendengar taklimat yang dibentangkan dan menyampaikan pandangan yang bernas mengenai kepentingan pemerkasaan masyarakat, khususnya golongan rentan dan berkeperluan. Baginda turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen HDF dalam melaksanakan program berbentuk kemasyarakatan, pendidikan dan kemanusiaan bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan di seluruh negara.
Kunjungan hormat ini menandakan permulaan kepada hubungan strategik yang lebih kukuh antara HDF dan institusi negeri Perlis, serta membuka ruang untuk pelaksanaan program bersama yang lebih tersusun dan berimpak tinggi. HDF beriltizam untuk terus memainkan peranan aktif dalam usaha mengangkat martabat masyarakat melalui inisiatif yang inklusif dan berteraskan prinsip No One Left Behind.
HDF menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAM Puteri Raja Muda Perlis atas kesempatan menghadap ini serta sokongan baginda terhadap usaha-usaha pembangunan insan yang dibawa oleh organisasi. Pertemuan ini menjadi pemangkin semangat HDF untuk memperluas peranan dalam agenda kemanusiaan dan pembangunan sosial di Perlis dan seluruh Malaysia.




Comments