top of page
Search

Delegasi HDF ke Osaka World Expo 2025

  • Writer: ADMIN HDF MALAYSIA
    ADMIN HDF MALAYSIA
  • Nov 25
  • 2 min read

Updated: Nov 26

Humanitarian Development Foundation (HDF) dengan kerjasama strategik MH Global Network Centre, telah membawa delegasi khas ke Osaka World Expo 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 16 Oktober 2025. Ekspo berprestij dunia yang diadakan di Osaka, Jepun ini merupakan pentas global paling berpengaruh dalam merangka masa depan pembangunan manusia, inovasi dan kemanusiaan. Penyertaan HDF menerusi Youth Exploration Program (YEP) memberi peluang kepada belia Malaysia untuk mempelajari realiti global dan memahami landskap masa depan dari perspektif antarabangsa.


ree

World Expo 2025 yang bertemakan “Designing Future Society for Our Lives” menghimpunkan negara-negara dan organisasi dunia untuk berkongsi idea tentang bagaimana masyarakat masa depan harus dibentuk. Tema ini sangat dekat dengan aspirasi HDF yang komited membangunkan masyarakat yang inklusif, berdaya saing dan berpaksikan nilai kemanusiaan. Delegasi HDF ke Osaka bukan sekadar lawatan pembelajaran, tetapi satu misi diplomasi belia yang memperkukuh hubungan antarabangsa serta menghubungkan Malaysia dengan dunia melalui pendedahan teknologi, inovasi sosial dan pembangunan komuniti.


Youth Exploration Program yang diketuai sendiri oleh Tn. Hj. Muzhafar Shairazi bin Mohammad, Ketua Eksekutif HDF telah memberi pengalaman menyeluruh kepada delegasi belia yang merangkumi pembelajaran silang budaya, pembangunan kepimpinan dan peluang membina rangkaian dengan organisasi luar negara. Delegasi ini disusun rapi bersama MH Global Network Centre yang memainkan peranan penting sebagai penghubung diplomatik, penasihat antarabangsa dan penyelaras hubungan strategik antara Malaysia dan Jepun. Kolaborasi ini memastikan delegasi HDF mendapat akses optimum kepada pameran, pavilion, institusi pendidikan dan rakan global sepanjang tempoh berada di Osaka dari 10 hingga 16 Oktober tersebut.


ree

Antara inti pati penyertaan HDF ialah mengetengahkan kisah pembangunan komuniti Malaysia ke arena global. Program Gotong-Royong Membina Bekalan Paip Air Bersih di Telang Usan, Miri, Sarawak yang dilaksanakan oleh rakan strategik HDF iaitu MyHumanitarian telah dipilih sebagai contoh projek kemanusiaan Malaysia yang berjaya. Projek ini membawa perubahan besar kepada komuniti pedalaman, menghubungkan kepakaran sukarelawan dengan keperluan masyarakat, sekaligus membuktikan bahawa model pembangunan berasaskan kerjasama mampu mengubah masa depan sesebuah komuniti. Melalui naratif ini, HDF ingin memperlihatkan bahawa Malaysia juga memiliki kisah kemanusiaan bertaraf dunia yang wajar dikongsi kepada khalayak antarabangsa.


Pengiktirafan lebih besar diterima apabila, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Sekretariat Malaysia Pavilion, HDF diberikan slot persembahan istimewa di Pentas Utama Pavilion Malaysia pada 12 Oktober 2025. Dalam sesi tersebut, HDF menayangkan video montaj khas yang memaparkan perjalanan penuh cabaran Program Gotong Royong Membina Bekalan Paip Air Bersih di Miri. Video tersebut bukan sahaja menceritakan proses teknikal pemasangan sistem air bersih, tetapi turut merakam ketabahan sukarelawan dan kegigihan komuniti dalam memperjuangkan kehidupan yang lebih baik. MyHumanitarian sebagai peneraju lapangan turut ditonjolkan, menggambarkan kerjasama erat antara NGO dan komuniti tempatan sebagai asas kejayaan projek tersebut.


Penyertaan HDF ke Osaka World Expo 2025 diharapkan dapat memberi nafas baharu dalam agenda pembangunan belia dan kemanusiaan negara. Delegasi yang kembali membawa pulang idea, inspirasi dan rangka tindakan yang mampu diterjemahkan kepada projek akar umbi, program pembangunan masyarakat dan intervensi kemanusiaan yang lebih berkesan. Lebih penting, HDF ingin memastikan belia Malaysia berupaya menjadi pemain global yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berminda kemanusiaan dan berjiwa besar.


ree

Dengan semangat No One Left Behind, HDF telah melangkah ke Osaka membawa nama Malaysia, membawa kisah pedalaman Sarawak dan membawa suara belia negara untuk didengarkan oleh dunia. Penyertaan ini bukan hanya satu pencapaian organisasi, tetapi satu langkah besar Malaysia dalam memperkenalkan naratif kemanusiaan ke pentas antarabangsa.

 
 
 

Comments


bottom of page